Thursday, August 13, 2009

PERGINYA SEORANG PELOPOR NASYID TERSOHOR





KUALA LUMPUR 13 OGOS 2009 Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung. Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.
Kehilangan Asri yang pernah popular dengan lagu "Pergi Tak Kembali" bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.
Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).
Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini. Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah. Kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya. Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.
Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.
Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.
Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment