Friday, January 1, 2010

2010 TAHUN CEMERLANG

Tirai 2009 yang berlabuh semalam memahat pelbagai kenangan pahit dan manis bagi setiap insan termasuk warga SKBI. Ia tidak akan kembali lagi dan akan terus pergi jauh meninggalkan kita. Apa yang pasti, 2010 telah muncul dan tentunya pelbagai impian dan matlamat disasarkan demi memacu kerjaya yang diamanahkan agar terus gemilang dan lebih cemerlang.

Bagi pengurusan nasyid Soutul 'Abqariy, kedatangan 2010 telah menjanjikan pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh khususnya dalam mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan. Apatah lagi, tahun 2010 adalah tahun yang menjadi kayu pengukur kepada SKBI untuk merealisasikan matlamatnya menjadi sebuah sekolah yang cemerlang dan gemilang dalam semua bidang di peringkat Daerah Utara.

Kumpulan nasyid Soutul 'Abqariy tidak terlepas daripada menerima cabaran dalam merealisasikan impian tersebut. Jika sebelum ini, gelaran naib juara sudah sinonim dengan mereka, pastinya gelaran juara pula yang diintai-intai. Bagi mencapai hasrat tersebut, gerak kerja yang perlu dijalankan tidaklah sekadar melepaskan batuk di tangga atau hangat-hangat tahi ayam, bahkan menagih seribu pengorbanan yang perlu dicurahkan.

Dengan pengurusan baru, semangat kerjasama dalam pasukan yang selama ini menjadi pegangan diharapkan terus kukuh dan mantap dalam meyusun strategi untuk mencorak kejayaan demi kejayaan sepanjang 2010. Agar bahtera kejayaan terus menjadi milik kita dan segala impian dan matlamat yang dilukiskan selama ini dapat digapai dengan lebih bergaya.

No comments:

Post a Comment